The Prophet Muhammad (peace be upon him) is reported to have asked his Companion, the poet Abdullah bin Rawahah* (may Allah be pleased with him), "Abdullah! What is poetry?" The poet responded, "It is something that pulstates in my heart and is then spoken by my tongue."

WEB LAGU PUISI MUTIARA

Laman Utama>>

 

 

 

Soundtrack Hidupku

Hit Counter
pengunjung sejak 10 Disember 2005

Muqaddimah

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa ketika di bangku sekolah, aku sangat aktif dalam bidang muzik. Bukan setakat pergi jamming atau melalak di bawah kolong saja. Aku pernah menjadi anggota koir ketika menuntut di sekolah menengah (Victoria School) dan maktab rendah (Tampines Junior College). Di situlah tempatnya aku mengasah dan memperbaiki mutu suaraku. Di situlah aku mempelajari asas-asas membaca nota muzik dan cara-cara untuk harmonize. Malah setelah tamat pengajianku di maktab rendah aku teruskan latihan vokalku hingga akhirnya aku dapat meninggikan vocal range-ku daripada baritone ke tenor. Dapat juga akhirnya aku menyanyikan not-not tinggi.

Bukan setakat itu, aku juga minat akan genre lagu puisi. Ini merupakan sinambungan semulajadi bagiku yang memang sudah lama meminati sastera dan puisi. Minat kepada lagu puisi semakin menebal selepas aku menyaksikan kumpulan seperti Nuradee dan Rausyanfikir membuat persembahan di acara-acara sastera di sekitar Singapura. Nuradee menyanyikan lagu hit pertama mereka 'Aku Yang Masih' dengan diiringi kumpulan dikirbarat. Art Fazil dengan semangat rocknya (katanya, ART itu akronim untuk 'A Rebellious Teenager'). Mohd Khair Mohd Yasin dengan rentak kemelayuannya. Allahyarham Esham Jamil dengan balada menusuk kalbu dan suara mirip Ebiet G. Ade. Semua ini menjadi pembakar semangatku untuk menceburi bidang lagu puisi. Lantas aku pun mula berjinak-jinak menulis lagu puisi.


Deklamasi sajak bersama Baharom Paiman @ Malay Village, 1998

Mula-mula aku melagukan puisi sendiri, kemudian aku melagukan pula puisi orang lain. Bakatku dalam bidang penulisan lagu puisi disedari oleh mentor teaterku Nadiputra. Dialah yang memberi aku gig pertama aku di sekolah-sekolah sempena acara-acara seperti peraduan menulis puisi, peraduan deklamasi sajak dan peraduan drama di mana aku muncul sebagai persembahan selingan. Selalunya aku tidak membuat persembahan seorang diri. Ada kalanya, teman-teman seperti Hamzah Adon (gitaris dan vokal, sekarang bersama kumpulan 'The Unsangkarables'), Ruslighani (vokal, anggota kumpulan '2D') dan Jai (pemain percussion) mengiringi persembahanku.

Perkenalanku dengan Cikgu Karmin Abbas, mantan guru Bahasa Melayu di Raffles Institution menjadi pemangkin untukku teruskan semangat untuk berkarya. Cg Karmin juga seorang pencipta lagu puisi dan pernah merakamkan album lagu puisi bersama 2 orang temannya; kumpulan mereka dikenali waktu itu dengan nama Kakilangit. Ketika berkecimpung bersama Cg Karmin, aku telah mencipta lagu-lagu puisi yang aku rasa hingga ke hari ini adalah antara lagu-lagu terbaikku. Lagu seperti 'Balada Ulat Daun' dan 'Berikanku Seruling'. Lagu 'Berikanku Seruling' dipadankan dari puisi tulisan Anuar Othman, verse pertama diilhamkan oleh Cg Karmin dan verse-verse seterusnya adalah ilhamku. Lagu ini pernah aku persembahkan bersama Zamberi A Patah di majlis pelancaran buku antologi cerpen Anuar Othman yang bertajuk 'Mendonan'.


Bersama Jai (percussion) & Hamzah (gitar) @ Artis Corner, 2000

Buat masa ini, aku sudah tidak giat lagi berkarya seperti dulu. Namun, beberapa buah lagu ciptaanku telah aku rakamkan dengan sofwe multi-track di rumah agar dapat diabadikan. Aku mengambil keputusan untuk meletakkan lagu-lagu aku di sini agar semua peminat lagu-lagu puisi dapat menikmatinya. Insya-Allah, aku akan kembangkan koleksi lagu-lagu yang ada.

Selamat mendengar! Semoga terhibur.

Nor Herman Maryuti @ MUTIARA
Singapura

<<Kembali ke Laman Utama>>